Mengenal Diri Mengenal Allah-Makam Fana’


MAKAM FANA’/MAKAM BINASA

Makam fana’ ialah : Hilangnya ujud kita ini zahir dan bathin. Bukan hilang pada nafsu ammarah, tetapi hilang dalam pandangan makhluk, kalau kita sudah benar-benar memesrakan diri kita zahir bathin kepada Nur Muhammad dan bersatu dengan seluruh perikemanusiaan serta bersatu dengan seluruh alam, maka kalau sudah beroleh wasiat, hingga lenyaplah kepada sifat-sifat Allah Ta’ala. Inilah yang disebut dngan fana dan baqa, kudrat kita lenyapkan kepada kudrat Allah Ta’ala, iradat kita lenyapkan kepada iradat Allah Ta’ala, ilmu kita lenyapkan kepada ilmu Allah Ta’ala, hayat kita lenyapkan kepada hayatullah Zat, pendengaran kita lenyapkan kepada pendengaran Allah Ta’ala, penglihatan kita lenyapkan kepada penglihatan Allah Ta’ala, perkataan kita lenyapkan kepada perkataan Allah Ta’ala.
Maksud diatas tadi ialah :
  • wala qadirun : tiada kuasa hanya Allah Ta’ala,
  • wala muridun : tiada berkehendak hanya Allah Ta’ala,
  • wala alimun : tiada tahu hanya Allah Ta’ala,
  • wala hayyun : tiada hayat/hidup hanya Allah Ta’ala,
  • wala basyirun : tiada melihat hanya Allah Ta’ala,
  • wala samiun : tiada mendengar hanya Allah Ta’ala,
  • wala muttakalimun : tiada yang berkata-kata hanya Allah Ta’ala.
Jadi kalau sudah begini fana’ lah zat kita dan sifat kita zahir dan bathin, inilah dalilnya.
  1. MAUJUDUN WAHIDUN : Ujud yang empunya ujud Esa.
  2. WAJATUN WAMAUSUFUN : Zat dengan empunya zat adalah Esa jua.
  3. SIFATUN WAMAUSUFUN​,Wahidun sifatun wahidun ; sifat dengan empunya sifat adalah Esa.
  4. ASMAUN WAMAUSFUN,Wa asmaun wahidun ; nama dengan yang empunya nama adalah Esa jua.
  5. AFALUN WAMAUSUFUN​,af’alun wahidun ; af’al dengan yang empunya af’al Esa jua.
Jadi inilah yang disebut erti dan makna yang sebenarnya daripada fana’ dan baqa’ itu tadi. Inilah erti fana’ dan baqa’ yang dituntut oleh seorang salik/penuntut/tholib/murid. Adapun alam insan itu terhimpun kepada diatas daripada segala alam, jika bukan kerana insan, sesuatu pun tiada dijadikan/dizahirkan oleh Tuhan selamanya. Dalil menyatakan : “Al insane sirri wa ana sirrohu”, (ertinya: insan itu rahasiaku dan akupun rahasianya). Dan lagi : “Al insanu sirri wa ana sirri, sifatun wasifatin lagoirih” (ertinya ; insan itu rahsiaku, rahsiaku itu sifatku, tiada lain daripadaku jua). Maka dari itulah insan dilebihkan oleh Allah Ta’ala daripada malaikat ; pun demikian lah hendaknya itikad kita adanya. Iaitu : itiqad yang putus adanya, dan tiadanya, dan adanya.
Kalau anda sudah faham benar bererti putus itiqadnya, dan tiadanya dan adanya; maka barulah mendapat makam ARIFIN yang sebenarnya. Baiklah hamba uraikan secara ringakas tentang; ADANYA DAN TIADANYA.
MENUNGGAL DUA UNSUR KETIDAK ADAANYA : ADALAH KEADAANYA, DAN KEADAANYA ADALAH KETIADAANYA.
Sekarang baiklah kita buat contoh/misal :
Kalimah : LA ILAHA ILLALAH itu meliputi penyangkalan dan pengakuan. Adalah keadaan/ adanya dan tiadanya keadaannya/tiadanya, ertinya : hakikat dari Tuhan adalah tiadanya? Dalam ketidak adaannya/tiadanya : DIA mulai ADA. Yang terakhir lagi disebut : keadaan yang abadi. Itulah makna atau erti dari : ADANYA DAN TIADANYA.
Sekarang kita teruskan sedikit lagi tentang ada dan tiada. Keadaan yang abadi dan ketidak adaanya keduanya sekaligus bersamaan. Adalah merupakan : Ujud dari Tuhan. Penyangkalan mengandungi pengakuan yang positif. Jadi disini sangkalan dan pengakuan tidaklah terpisah dan tidaklah tersentuh, maksudnya ialah : bercerai tidak, bersatu pun tidak : akan tetapi keduanya Nafi dan dibatasi oleh kalimah ILA dan tidak boleh masuk kedalam kalimah ILLALLAH.
Selanjutnya kita harus tahu keadaan, harus memberi petunjuk yang terang tentang apa yang dianggap ada, seperti suatu petunjuk terhadap yang ditunjuk. Jadi rumus ILLALLAH adalah yang dianggap sebagai ADA. Maka mutlak lah nama keadaan yang maha mulia dari Allah Azzawalla, hanya untuk dialah rumus ILALLAH itu tepat. Jadi kesimpulannya adalah : Serba Esa, Serba Satu, dan hitungan segala jiwa pun adalah satu (dalam rahsia tuhan).
Disini tidak ada lagi dua faham dalam ujud, tidak ada lagi dua kata dalam perbuatan, tidak ada lagi dua unsur dalam asma’ dan tidak ada lagi dua jenis kehidupan. Dan tidak ada lagi dua rumus dalam Zat dan Sifat segalanya : “QADIRUN BI ZATIHI, MURIDUN BI ZATIHI, ALIMUN BIZATIHI, HAYUN BIZATIHI, SAMI’UN BIZATIHI, BASYIRUN BIZATIHI, DAN MUTTAKALIMUN BIZATIHI”.
Jadi siapa sudah Faham,merekalah yang beroleh ilham. Sekarang kita teruskan pula pembicaraan kita kepada tentang hakikat Muhammad secara ringkasnya.
Hakikat Muhammad itu ialah NUR MUHAMMAD. NUR MUHAMMAD itu ialah HAKIKAT ALAM. NUR MUHAMMAD atau HAKIKAT MUHAMMAD disebut juga NUR AWAL, ertinya asal segala kejadian dan akhir segala kenabian : ALHAQ dan dia pada Nabi. Itulah sebabnya hakikat MUHAMMAD itu disebut utusan, maka kalau hakikat Muhammad itu disebut utusan tuhan maka carilah dan galilah sedalam-dalamnya hakikat hidup kita ini, supaya boleh pulang kembali keasalnya, iaitu kembali kepada hidup yang sejati, iaitu hidupnya tuhan yang kekal dan abadi, dan azali dan tidak terkena rosak. Itulah yang disebut Zat yang maha besar HAQ Allah yang dikenal dengan sebutan : HAQQULLAH TA’ALA.
Itulah tempat kembali, tempat manusia Ma’rifat, sebagai kesempurnaan kita yang sejati dan abadi. HAQQULLAH itu adalah sebagai kenyataan kita iaitu, untuk alam akhirat nanti dan alam dunia ini.
LIQO​–​PERTEMUAN>> Bertemunya makhluk manusia kepada Tuhan dan sampainya, itulah puncak harapan, dan dengan itulah ia mencapai akan kebahagiaan dan kerajaan besar, bahkan dengan itulah ia akan lupa dan terhibur dari segala sesuatu selain Allah. Apabila tuhan membukakan bagimu jalan untuk ma’rifat atau mengenal kepadanya, maka janganlah engkau menghiraukan asal amalmu yang masih sedikit misalnya. Sebab tuhan tidak membukakan bagimu, melainkan Ia memperkenalkan DiriNya kepadamu. Tidaklah engkau ketahui bahawa ma’rifat itu adalah puncak keuntungan seorang hamba, maka tak usah kau hiraukan berapa banyak banyak amal kebaikanmu atau amal perbuatanmu, meskipun masih sedikit amalmu dengan anggota yang lahir, Ma’rifat itu suatu kurnia pemberian Allah kepadamu, maka Ia sekali-kali tidak tergantung kepada banyak atau sedikitnya amal kebaikanmu.
Andaikata engkau tidak dapat sampai kepada Allah :  kecuali sesudah habis lenyap semua dosa dan kekotoran syirik,  nescaya engkau tak dapat sampai kepadanya. Untuk selamanya. Tetapi bila Allah menarik engkau kepadanya, maka Allah menutupi sifat-sifatmu dengan sifatNya, dan kekuranganmu dangan kurniaNya. Hilangkan pandangan mahkluk kepadamu, kerana puas dengan Penglihatan Allah kepadamu. Dan lupakan perhatian makhluk kepadamu, kerana melihat bahawa Allah menghadap kepadamu. Sebaik-baik saat dalam hidupmu : ialah saat ingat kepada tuhan, dan putus hubungan dengan segala sesuatu yang lainnya.
Dan apabila pada saat itu tidak ada lagi pandangan yang lainnya dari Allah, maka pada saat itu murnilah pengertian tauhidmu kepada Allah. Nikmat itu meskipun beraneka macam bentuknya : hanya disebabkan kerana melihat dan dekatnya Allah. Demikianlah pula siksa itu walaupun bermacam-macam bentuknya itu hanya kerana terhijab dari Allah. Demikanlah pandangan orang yang faham. Kesimpulannya adalah : siksa itu kerana adanya hijab. Dan nikmat itu kerana melihat kepada Zat yang wajibal ujud. Dan siapa fana’ dengan Allah: pastilah ia lupa segala sesuatu, dan siapa yang benar-benar mengenal kepada Allah, Nescaya tiada risau dan sedih  lagi menghadapi hidup ini. Lagi pula barang siapa telah sampai titik puncak, Wali Allah namanya, atau yang sering disebut : AL ALIMURROBANIYAH,( Alim yang sebenarnya).
Ma’rifat yang paling tinggi dan yang paling dianugerahi Allah Ta’ala dengan ilmu Terbayang. Apakah ilmu terbayang itu?
Yang dimaksud ilmu ternyang itu ialah ; ILMU LADUNIYAH, yang tiada mudah hilang. Sedang ilmu yang nampak ini mudah hilang dibawa angin lalu, jadi yang dinamakan ilmu yang nampak ialah ilmu hafalan dan darusan. Apabila lupa ia dengan ilmunya, nescaya terhenti bicaranya (lafazannya). Kerana kalau diteruskan akan membawa kehancuran dan kerosakan menyeluruh. Itulah dia ilmu yang nampak. Sedang ilmu terbayang tak pernah pudar untuk selama-lamanya. Ilmu yang nampak hanya dimilki orang alim fiqih, sedang ilmu terbayang dimilki oleh Ahlullah. Jadi ilmu yang nampak itu hanya bercahaya dalam alam dunia ini saja. Sedang ilmu yang terbayang, bercahaya-cahaya meliputi hati orang yang memiliki qalbun salim. Ertinya ; hati yang latif yang bersifat ketuhanan (Lahud).
Itulah DIA yang disebut cahaya yang cerah cemerlang yang tiada harapan tuhan bartajali kepadanya. Dia bukan Zat, bukan benda dan bukan materi : tetapi dia adalah……………………………… yang paling sulit pada segalanya. Itulah DIA kaymiyakbathin, DIA diatas daripada ilmu yang ada dalam dunia ini. Kalau masih terhenti kepada ilmu, belumlah ilmu. Ilmu yang sejati ialah : “ALIMULGHOIBI WASYSYA’ADAH”. Ilmu yang seperti ini hanya dianugerahkan kepada hambanya yang dikehendakinya. Ilmu yang nyata boleh untuk semua orang, ilmu yang ghoib hanya untuk hambanya yang beroleh petunjuk dan anugerah istimewa daripada Allah Ta’ala, bukti nyata lihatlah kepada nabi-nabi khususnya kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Kalam yang tertulis dalam Al qur’an datangnya dari mana dan kembalinya atau mudahnya kemana?Apakah setelah membekas pada kulit-kulit kayu, daun kurma, dibatu dan dikayu-kayu : sudah hilangkah yang sejatinya? Apakah Al qur’an itu hanya tertulis di Loh Mahfuz saja? Adakah lagi lainnya? Bagaimana riwayatnya dan apakah nama tempatnya? Kitab yang diturunkan Allah kebumi ini ada 104 buah kitab, Adakah kitab yang tersmbunyi dibalik yg 104 itu? Tidak. Kitabullah yang sebenarnya itu apakah ia berhuruf, bersuara, dan merupakn kata-kata? Manusia ini ini hanya diberikan sedikit saja percikan kalam Tuhan yang hakiki dan Azali. Jadi siapa yang berhajat kepada ilmu, ilmulah namanya, siapa yang berhajat kepada Allah, Allah namanya.
Dan barang siapa tiada berhajat kepada ilmu dan kepada Allah, ITULAH YANG SEBENARNYA ,yang sampai. Inilah makam tuhan yang hakiki dan Azali. Dan inilah makam Ahlul akhirat namanya. Inilah makam nabi-nabi dan rasul-rasul Allah, inilah makam MAHMUDAN namanya: Makam yang terpuji dilangit dan dibumi, jadi siapa yang dikehendaki Allah, semuanya Jadi. Tidak ada terlengah bagi Allah, hanya engkau sendiri kurang faham dengan Allah. Bila engkau faham dengan Allah, maka bererti engkau sefaham dengan Allah. Ertinya : fahaman satu rahsia dengan faham Allah. Kemahuanmu satu rahsia dengan kemahuan Allah. Kebesaranmu satu rahsia dengan kebesaran Allah. Akhirnya Ujudmu dan hidupmu satu rahsia dengan Ujud Allah dan Hayatullah Zat. Dan satu rahsia dengan perikemanusiaan, dan dengan seluruh jagat raya ini. Dan se-gala-galanya dalam hal apapun jua, tetapi tetap satu rahsia dengan kebesaran dan kemuliaan dan kekerasan, keelokan dan kesmpurnaan zat. TUHAN YANG MAHA AGUNG DAN YANG MAHA SEMPURNA.

PANDANGAN HIDUPMUSLIM>> Marilah kita menjadi seorang sufi, menjadi seorang sifa. Kerana kita adalah pengikut nabi yang telah disucikan dan dibersihkan atau mutafa. Marilah kita menjadi sufi dalam menghadapi kehidupan sehari-hari, sufi dalam perniagaan, sufi dalam pergaulan, sufi dalam hidup kasih sayang dan sufi dalam hubungan dengan Tuhan. Sufi sejati luas perasaannya, tinggi hikmahnya dan putus segala tali pengikat yang mengikat kebebasan jiwa, tidak terikat oleh siapapun, dan oleh apa-apa saja, selain terikat oleh Allah. Sufi yang sejati meleburkan dirinya kedalam masdar tempat asalnya, fana’ diri kedalam baqa’. Dalam manusia biasa, maksudnya dalam pandangan manusia biasa, Tuhan adalah yang maha kuasa atas alam ini. Alam ini dibolak balikkan, ditelentangkan dan ditelungkupkan oleh satu zat yang maha kuasa : ALLAHU AKBAR. Dalam pandangan sufi memandang bahawa Tuhan itu adalah hakikat ujud dalam hidup ini atau hakikat kekuatan dalam hidup. Kekuatan dan tenaga itulah menjadi gerak-geri hati manusia bahawa gerak-geri alam maya ini. Sufi yang sejati ialah : yang selalu  ingat kepada Allah dalam setiap saat dan lidah tidak kering-kering menyebut Allah, dengan maksud nyawanya tidak putus mengingat Allah. Meskipun lidah jasmaninya berdiam diri saja. Sufi sejati telah putus segala-gala rantai yang diberi batas dengan alam. Rohaninya terbang tinggi laksana burung yang terbang keangkasa luas menyusup awan biru, ditinggalkannya sangkar, naik keatas puncak gunung, ditinggalkannya gunung naik keatas awan biru, dia bertakhta diatas awan biru, dipandangannya sangat lemah sekali alam semesta ini, termasuk dirinya, kian lama kian terasa semakin lemah, AKUNYA : yang akhirnya leburlah AKU kedalam hakikat AKU yang sebenarnya. Itulah ufuk tinggi luar biasa, kadang-kadang ia berjumpa dengan orang-orang suci, atau aulia Allah, dan wali Allah, serta orang-orang ahli tasauf, inilah mi’rajnya yang pertama bagi seorang sufi.
Jadi kalau aku masih merasa aku, maka belumlah aku sampai kepada inti cinta. Kalau AKUKU : Aku leburkan kedalam engkau, maka AKU adalah ENGKAU dalam segala hal. Kini AKU tiada disana. Hanya engkau tinggal semata. Sekarang AKU tak dapat berkata-kata lagi. Bagaimana AKU menerangkan tentang DIA. Sedangkan AKU dengan AKU, dan AKU dengan dimana. Kalau AKU kembali, maka dengan AKU kembali itu terpisah. Kalau AKU lalai, dengan lalai itu, AKU diringankan. Apabila AKU berpadu kembali barulah jiwaku menjadi tenteram dan damai/bahagia. Inilah pendirianku atau akidahku yang terakhir. Akhirnya : AKUKU LEBUR KEDALAM JIBU. “LAHURUFIN WALA SAUTIN”,(ertinya : Tiada huruf, tiada suara, tiada kata-kata, zat dirinya).
Jadi kalau seorang penuntut telah sampai kepada JIBU / LA HURUFIN WALA SAUTIN : Maka pastilah ia faham akan apa-apa yang dibicarakan. Jadi sesiapa belum faham, bererti dia belum mampu menangkap segala pembicaraan yang amat halus ini dan sulit baginya untuk memahami. Demikianlah apa-apa yang dapat hamba sampaikan.
ALAM DAN TUHAN>> Kehidupan dan alam penuhlah rahsia-rahsia. Rahsia-rahsia itu tertutup oleh dinding. Diantara dinding-dinding itu ialah hawa nafsu kita sendiri. Tetapi rahsia-rahsia itu mungkin terbuka atau tersimpan. Dan dinding-dinding / hijab itu mungkin tersimbah, kita dapat melihat atau merasai berhubungan langsung dengan yang ter-rahsia, asal kita sudi menempuh jalannya. Jalannya ialah jalan yang dinamakan tarikat. Dan jalan inilah yang menyampaikan kepada ilmu hakikat. Jadi kumpulan ilmu pengetahuan syariat, kesediannya menempuh jalan tarikat dan mencapainya akan hakikat, dan semuanya
Jadi ma’rifat itulah kumpulan ilmu pengetahuan,vamal dan ibadah. Kumpulan daripada ilmu, dan filsafat agama. Kumpulan daripada pengamalan dan perasaan atau zauq. Dan kumpulan daripada mantik, keindahan dan cinta. Jadi syariat itu ertinya kenyataan, dan tarikat itu jalan. Sedang hakikat itu ertinya : yang sebenarnya, iaitu : I’tiqad yang sebenarnya, yang wajib dipercayakan dan takluk ia kepada perbuatan hati. Hakikat itu ialah kebenaran sejati dan mutlak. Yang padanyalah hujung segala perjalanan bagaimanapun jauhnya. Akhirnya daripada segala langkah tujuan segala jalan. Dan untuknyalah syariat dan undang-undang, dan didalam perjalanan menuju hakikat itu, orang memulakan dari dalam dirinya sendirinya. Untuk mengenal Tuhan kenallah diri ( diri sendiri ). Perjalanan itu dimulai dari dalam kita sendiri dari dalam terus kedalam, akhirnya serba alam dengan keindahannya, hanyalah sebagai aksi pencari diri. Disini sering terjadilah cara yang didapat oleh ahli suluk atau ahli perjalanan / tharikat. Setengahnya kerana terlalu asyiknya, maka dirasainya bahawa diri tiada lagi. Yang ada hanya yang ada atau: “LAMUJUDA BIHAQQIN ILALLAH” (hanya Tuhan yang ada sedang mahluk tiada ). Yang ada ialah yang AWAL, yang tidak ada permulaan dan yang akhir tidak ada penghabisan.
Adapun diri sendiri dalam alam seluruhnya tidaklah ada ; sebab awalnya ADAM, ertinya tiada. Dan ahirnya fana’ dan lenyap : maka apabila jalan itu telah dijalani dengan segenap kesungguhan, ketaatan, dan setia memegang segala syarat dan rukunnya, akhirnya bertemulah kita dengan hakikat yang sebenarnya. Mula-mula tercapailah kasyaf, iaitu terbukalah rahsia yang senantiasa menyelubungi antara kita dengan DIA. Maka dengan itu terbukalah hijab atau dinding iaitu : dinding-dinding tebal yang memisahkan kita dengan DIA, dan dinding-dinding itu ialah :Hawa nafsu kita sendiri atau yang disebut angkara murka, atau nafsu haiwani atau nafsu syaitan. Maka dari itu perlunya kita TAJAHUT, ertinya : melepaskan diri dari belenggu segala ikatan atas diri kita sendiri.
Dan apabila rohani kita telah mencapai kesempurnaan, maka otomatis takluklah jasmani kepada kehendak rohani. Pada waktu itu tidak ada miskin lagi, bahkan mautpun sebagai  sangkar kecil kepada kebebasan luas mencari kekasih. Dan mereka katakan mati itu adalah alamat CINTA sejati dan mutlak. Disini timbullah dalam kata iaitu yang dikatakan hulul. Hulul ialah : timbul kesatuan diantara asyik dan ma’syuknya. Atau meninggalnya antara asyik ma’syuk atau yang mencintai dengan yang dicintai, sehingga AKU adalah DIA, dan DIA adalah AKU dan Ana alhaq. Disini mulalah ada pertingkahan diantara ulama ahli zahir dengan ulama ahli bathin. Tentu saja ada yang menolak dan ada pula yang membela. Kata yang membela, orang yang telah mabuk cinta dan rindu, yang diliputi oleh perasaan-perasaan lebih mendalam daripada orang yang hanya menggunakan akal semata dan mantik semata.

Sirrul asror

Rahsia Ilmu Huruf (Abjad)

Kitab Babul Haq Tanda-Tanda Sakaratul Maut

KITAB SIRRUL ASRAR

Kitab Babul Haq Nama Allah Pada Tubuh Manusia

Kitab Babul Haq Derajat Hakikat

Mengenal Diri Mengenal Allah-Al-Fatehah, Solat & Pecahan Diri

Kitab Babul Haq Dua Kalimah Syahadat

Pengertian, sejarah dan macam-macam tarekat

Kitab Babul Haq